Halaman

08 March 2012

Penantian 25 tahun peneroka Felcra berakhir

Oleh FAUZI MOHD dan NURUL AZIELLA SABERI
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Penantian lebih 25 tahun untuk mendapatkan tanah sendiri oleh 138 peneroka Felcra berakhir apabila tanah seluas hampir 700 ekar yang dimohon mula menerima lot masing-masing hari ini.

Tanah pertanian yang terletak di Mukim Hulu Chukai itu diteroka pada 1986 dan permohonan rasmi untuk mendapatkan hak milik tanah dibuat di Pejabat Tanah Kemaman tahun 1990.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said menyeru semua penerima tanah itu supaya menjadikan kurniaan yang diberikan sebagai warisan kekal.

“Penduduk sewajarnya bersyukur dengan pengurniaan tanah ini. Jangan pula tanah ini dijual dan jadikannya sebagai pegangan berterusan.

“Dengan pengurniaan tanah ini, diharapkan permuafakatan masyarakat dapat ditingkatkan lagi untuk melahirkan generasi yang produktif,” katanya berucap pada majlis undian lot tanah berkelompok Darat Dato’ C di Kampung Ibok, Kemaman.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, YB. Ir. Rosli Othman dan Pegawai Daerah Kemaman, Mohamad Kamil Othman.