Halaman

28 March 2012

MBNT anjur Karnival Pendidikan dan Kerjaya Belia

Oleh Che Mohd Hisham Che Jamaluddin

Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) menganjurkan Karnival Pendidikan dan Kerjaya Belia Terengganu 2012 di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman selama empat hari, mulai esok.

Pengerusi (MBNT), Mat Yusof Mat Ali berkata, karnival anjuran kerajaan negeri bersama MBNT dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) turut disertai enam agensi lain.

Katanya, pengisian utama program itu untuk memberi khidmat nasihat berkaitan aplikasi ‘UPU Online’ kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan dikendalikan Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan Daerah Kemaman.

“Pelbagai pameran dan seminar akan diadakan selama karnival itu berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan kepada Teganukita hari ini.

Tambah Mat Yusof, lebih 12 program diadakan pada karnival itu termasuk forum mahasiswa, seminar pendidikan dan kerjaya, solat hajat perdana di Masjid Geliga dan bual bicara bersama Duta Akedemi GPMS Kemaman.

“Kita jangkakan 20,000 pengunjung termasuk ibu bapa dan warga pendidik akan hadir kerana pelbagai input berguna dapat dikongsi pada karnival ini,” katanya.

Sebarang pertanyaan, boleh menghubungi Pengarah program, Mohd Izham Ahmad (019-9008785) dan Urusetia ( 013-9724632).