Halaman

04 March 2012

LTdL 2012 : Sembilan pelumba kelahiran Terengganu gagal ceriakan laman sendiri

Oleh FAUZI MOHD

Gabungan sembilan pelumba kelahiran Terengganu pada peringkat kesembilan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 tidak menjadi, malah pelumba harapan Anuar Manan dari Champion System pula terlibat kemalangan.

Selain Anuar dan Mohd. Harrif Salleh, tujuh lagi pelumba kelahiran Terengganu yang beraksi di LTdL kali ini ialah Mohd. Nur Rizuan Zainal, Amir Mustafa Rusli, Ahmad Fallanie Ali (Malaysia), Mohamad Adiq Hussainie Othman (Champion System), Mohd. Shahrul Mat Amin, Mohd. Saufi Mat Senan dan Mohd. Zamri Salleh.

Mereka gagal menceriakan penyokong sendiri pada perlumbaan sejauh 165.7 kilometer dari Kemasik ke Kuala Terengganu dalam berhujan.

Hanya Zamri yang menduduki tempat kelapan apabila berada di peloton hadapan yang menyaksikan perlumbaan terpecah kepada dua kumpulan menuju ke garisan penamat dengan catatan 3 jam 27 minit 6 saat.

Sementara itu, kemalangan menyebabkan Anuar tidak dapat meneruskan hasratnya untuk meraih kejuaraan.

Dia menamatkan perlumbaan di tempat ke-118 dalam perlumbaan yang sekali lagi dimenangi, Andrea Guardini daripada pasukan Farnese Vini-Selle Italia.

"Saya terus dilanda malang, tahun ini nasib tidak menyebelahi saya. Dua kali terlibat dalam kemalangan dan beberapa kali tayar basikal saya pancit menyebabkan rentak saya sedikit terjejas," katanya yang menyifatkan kecederaannya tidak begitu serius dan masih lagi mampu untuk beraksi pada peringkat akhir.