Halaman

30 March 2012

Lembaga Muzium anjur Pertandingan Mewarna

Oleh Che Mohd Hisham Che Jamaluddin

Lembaga Muzium Negeri Terengganu dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Dungun akan menganjurkan pertandingan mewarna warisan kita peringkat Daerah Dungun bertempat di Muzium Daerah Dungun pada 31 Mac ini.

Urusetia program, Encik Mohd Saberi Muda berkata, tema pertandingan kali ini adalah ‘Sayangi Warisan Kita’ yang bermatlamatkan memberi apresiasi budaya dan sejarah kepada generasi muda ke arah melahirkan masyarakat yang celik sejarah dan budaya bangsa.

Katanya, acara tahunan ini yang telah memasuki kali kelima akan turut dimeriahkan dengan aktiviti sampingan seperti demontrasi menumbuk emping, permainan tradisional, persembahan bakat kanak-kanak, kuiz dan cabutan nombor bertuah.


“Pertandingan yang bermula jam 8.30 pagi hingga 12.00 tengahari itu dijangka disertai oleh 800 kanak-kanak daripada Tadika KEMAS, Yayasan Islam Terengganu, Tadika Perpaduan, kanak-kanak pra sekolah dan pelajar Tahun Satu hingga Tahun Enam dari sekitar Daerah Dungun.

“Majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah akan disempurnakan oleh YB Datuk Haji Matulidi Jusoh, Ahli Parlimen Dungun,” katanya dalam satu kenyataan kepada Teganukita hari ini.

Tambah Mohd Saberi, urusetia program turut menyeru orang ramai datang untuk sama-sama memeriahkan program itu sekaligus mempromosikan Muzium Daerah Dungun sebagai destinasi patut lawat di Daerah Dungun.