Halaman

13 March 2012

Konmat himpun 400 penuntut IPTA seluruh negara

Oleh; Esah Abdullah





Seramai 400 penuntut daripada 12 buah Institusi Pengajian Tinggi Awam(IPTA) di seluruh negara menyertai Konvensyen Matematik Malaysia 2012 (Konmat’ 12) bertempat di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) selama dua hari baru-baru ini.

Konvensyen yang julung kali diadakan ini mendapat sambutan menggalakkan dengan hampir kesemua IPTA menghantar wakil.

Antaranya, termasuklah Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Arau, Perlis,Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UniSZA).



Konmat diadakan khusus kepada pelajar matematik peringkat sarjana muda dan mahasiswa serta pelajar bagi membincangkan hala tuju mahasiswa matematik selepas menamatkan pengajian.

“Matematik adalah sumber aspirasi utama dalam bidang kewangan, sains dan teknologi serta merangkumi keseluruhan aspek kehidupan,” kata Timbalan Naib Censelor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, Prof. Dr Noor Azhar Mohamed Shazili.

Katanya, penguasaan matematik mampu memberikan kepakaran dalam bidang berkaitan yang sekaligus meningkatkan kualiti profesionalisme seseorang.

Tambahnya, bidang matematik juga adalah nadi pengerak utama kepada sektor ekonomi dan kewangan.