Halaman

26 March 2012

Kerja kuat hadapi cabaran besar, PRU 13 : Tengku Putera

Oleh: Mastura Jamaluddin

“Sebagai panglima atau hulubalang yang dipertanggungjawabkan untuk membantu parti, kita semua perlulah bekerja kuat tanpa sebarang rungutan untuk menghadapi cabaran besar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang akan diumumkan bila-bila masa sahaja nanti,” kata Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang.

Pesanan itu disampaikan beliau di majlis perjumpaan khas bersama 108 warga Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) Hulu Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Dato’ Rosol Wahid; Adun Kuala Berang , Haji Mohd Zawawi Ismail; Wakil Adun Telemong, Encik Rosli Yaakob; Ahli Jawatankuasa Bahagian serta kakitangan APMT dari empat DUN Parlimen Hulu Terengganu.

Dato’ Tengku Putera juga meminta supaya setiap ahli APMT perlu menanam jati diri yang kuat dan ikhlas bekerja bagi memastikan perjuangan dan hala tuju sebenar agensi itu dapat tercapai, selain setiap perjuangan dalam parti memberi pulangan yang positif.

Katanya, apa yang penting adalah memastikan Barisan Nasional akan terus memerintah Terengganu dan Malaysia amnya.