Halaman

27 March 2012

Kempen kesedaran anti pemerdagangan orang dan penyeludupan migran

Oleh: Aida Abd Rahman

Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) akan melancarkan Kempen Kesedaran Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupaan Migran Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2012 di Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man, Kuala Terengganu pada 29 Mac (Khamis) ini.

Program mendapat kerjasama penuh Kerajaan Terengganu dalam usaha memberi kesedaran dan pengetahuan kepada umum mengenai isu pemerdagangan orang dan penyeludupan migran yang kini menjadi jenayah global dan berat.

Majlis pelancarannya dijangka akan dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, kira-kira jam 8 pagi.

Pengerusi NCWO Terengganu, Puan Norhasliza Abu Bakar, berkata kempen tersebut diharap mampu membangkitkan kesedaran semua pihak terutama orang awam untuk sama-sama membantu agensi kerajaan seperti Polis, Imigresen, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Tenaga Kerja dalam membanteras isu itu.

“Isu ini terlalu serius dan wajar dibanteras habis-habisan supaya semua pihak bersedia berkongsi serta memberi maklumat atau melaporkan jika mengetahui ada kegiatan mengeksploitasi manusia di tempat mereka.

“Ini kerana pemerdagangan orang bukan hanya aktiviti pelacuran sahaja, tetapi juga perhambaan, mengemis dan mencuri organ. Isu ini tidak hanya timbul di negara kita, malah menjadi isu global membabitkan semua negara di dunia,’’ katanya ketika dihubungi Teganukita, semalam.

Dalam pada itu, mesyuarat jawatankuasa peringkat negeri yang dipengerusikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamed turut dihadiri ketua-ketua jabatan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) diadakan di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu,baru-baru ini.

Untuk rekod, NCWO mula melancarkan kempen itu sejak akhir 2010 dan sehingga kini beberapa negeri telah melaksanakannya termasuk Sabah, Melaka, Pulau Pinang dan Sarawak.