Halaman

25 March 2012

Kebersihan asas keimanan

Oleh; Esah Abdullah

Kebersihan merupakan sebahagian daripada iman serta tunggak kepada sebuah kehidupan yang selesa dan harmoni selain menjadi manifestasi keteguhan iman seseorang kepada Allah SWT.



Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, Islam menganjurkan semua penganutnya mengamalkan kebersihan diri, keluarga, tempat tinggal dan tempat beribadat kerana suasana bersih dan suci membawa kepada persekitaran sihat dan selamat.

“Perkara yang sama juga perlu disemaikan dalam diri kanak-kanak agar menjadi satu budaya dan amalan bila dewasa kelak,” katanya di majlis penyampaian hadiah Program Pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Tadika Peringkat Negeri Terengganu 2011/2012 di Menara Yayasan Islam Terengganu (YIT) hari ini.

Hadir sama, Penolong Setiausaha Kerajaan (Kerajaan Tempatan) Encik Shahril Abdul Ghani; Pengarah YIT, Haji Md. Kamarul Al-Amin Ismail dan Pengarah Kemas Terengganu, Puan Hazelina Hashim.



Katanya, selain pertandingan untuk kelas Tabika perkara yang sama diadakan di kampung, masjid, tanah perkuburan dan premis makanan dalam usaha memberi kesedaran kepada masyarakat agar mengamalkan sikap cintakan kebersihan.

“Saya berharap dengan adanya pertandingan sebegini ia dapat mendidik serta meningkatkan kesedaran semua lapisan masyarakat dari peringkat kanak-kanak agar lebih perihatin dan bertanggung jawab serta sensitif ke atas sebarang pencemaran yang boleh menjejaskan kualiti alam sekitar,” katanya.

Katanya, jika amalan mulia ini menjadi budaya dalam kehidupan seharian, bukan saja masyarakat dapat hidup dalam keadaan selesa malah imej negeri turut meningkat di mata dunia.

Pada majlis itu, Tabika Kemas An-Nur Kampung Raja, Besut muncul juara keseluruhan diikuti Tadika YIT Jalan Pusara, Kuala Terengganu (kedua), Tabika Kemas Kampung Beladau Kepong, Marang (ketiga) dan Tabika YIT Kemaman (keempat).

Juara keseluruhan menerima wang tunai RM5,000, RM4,000 (kedua), RM3,000 (ketiga) dan RM1,000 (keempat) beserta cenderahati dan sijil penghargaan. Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Dato’ Haji Mazlan.