Halaman

22 March 2012

Empat pelajar cacat turut cemerlang SPM

Oleh: Aida Abd Rahman

Kekurangan dan kecacatan tidak menghalang empat Calon Berkeperluan Khas (CBK) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 mencapai keputusan cemerlang mengatasi calon normal yang lain.

Tiga daripada mereka adalah pelajar Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Dungun, iaitu Nurul Alwani Mohd Zaib (kecacatan saraf) memperolehi 6A+, 2A, 2A- dan 1B+; Muhammad Azizi Mohd Rashdi (masalah pendengaran) 1A+, 4A, 5A- dan 1B+ serta Muhammad `Izzat Mohamad (sawan) mendapat 2A, 2A-, 3B, 1C+, 2C, 1D.

Seorang lagi pelajar Sekolah menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Diman, Mohamad Amaluddin Othman yang mengalami masalah pendengaran mendapat 3A,1A-,2B+, 1C+ dan 2D.

Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu , Encik Hashim Mohd Zin, berkata empat calon cemerlang itu merupakan 37 daripada keseluruhan calon CBK SPM 2011, berbanding 41 calon pada tahun sebelumnya.

“Jumlah CBK yang berjaya memperolehi sijil SPM meningkat berbanding tahun lalu. Seramai 25 calon (67.57 peratus) berjaya mendapat sijil SPM berbanding 24 calon (58.54 peratus) pada 2010,” katanya.

Katanya, semua calon itu mendapat peluang yang sama seperti calon normal yang lain untuk menduduki peperiksaan dan seterusnya menerima pengiktirafan dengan adanya kemudahan pentaksiran yang disediakan bagi memenuhi keperluan mereka.

Sementara itu, Terengganu terus mengungguli kecemerlangan dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 apabila merekodkan peningkatan dari segi Gred Purata Negeri (GPN), pencapaian keputusan Gred Cemerlang dan Minimum C berbanding pencapaian pada 2010.

Malah, keputusan itu turut mencatat rekod terbaik dalam tempoh empat tahun yang mana GPN meningkat 4.92 berbanding 5.03 pada 2010 serta mengatasi Gred Purata Nasional (5.04).

Manakala lapan sekolah berjaya mencapai keputusan terbaik berdasarkan Sekolah Berpencapaian Cemerlang (GPS 2.25 ke bawah).

Sekolah berkenaan, SM Sains Sultan Mahmud, Kuala Terengganu(1.48),Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Batu Rakit (Kuala Terengganu)(1.71), diikuti SM Imtiaz Dungun (1.82), SM Sains Kuala Terengganu (1.85), SMA Atas Sultan Zainal Abidin (1.86), SMKA Sheikh Abdul Malek (2.00), SMK Tengku Mahmud (Besut) (2.17) dan SM Imtiaz Kuala Berang (Hulu Terengganu) (2.18).