Halaman

18 March 2012

BN terus kekal kuasa di Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Barisan Nasional (BN) akan terus kekal berkuasa di Terengganu pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang bakal diadakan pada bila-bila masa.

Malah, ahli-ahli politik veteran sependapat bahawa BN bukan saja mampu kekal memerintah negeri ini selepas PRU 13, tetapi parti keramat itu mampu menambah bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.

Pada PRU 12 BN menang 24 kerusi DUN manakala lapan kerusi lagi iaitu Batu Buruk, Ladang, Wakaf Mempelam (Parlimen Kuala Terengganu), Bukit Payong, Rhu Rendang (Marang), Bukit Tunggal (Kuala Nerus), Sura (Dungun) dan Manir (Hulu Terengganu) dimenangi parti pembangkang.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ladang, Dato’ Roslan Awang Chik, ketika ditanya peluang BN di Terengganu pada PRU 13 begitu optimis BN dapat mengekalkan semua kerusi yang dimenangi pada PRU 13 dan menang beberapa kerusi lagi yang sebelum ini terlepas ke tangan Pas.

“Saya lihat persiapan jentera Umno dan BN bagi menghadapi pilihan raya kali ini begitu mantap dan tidak ada peluang bagi pembangkang untuk mengalahkan BN kali ini,” katanya kepada Teganukita.

Namun begitu beliau tetap memberi peringatan kepada semua pemimpin dan penyokong Umno dan BN supaya akur dengan ketetapan pucuk pimpinan dalam soal pemilihan calon dan menyokong semua calon yang dipilih tanpa sebarang alasan.

“Jika semua pihak memberi sokongan penuh kepada calon yang dipilih untuk bertanding sama ada di peringkat DUN mahu pun Parlimen, BN boleh menang besar pada pilihan raya kali ini,” ujar beliau.

Bekas Adun Bandar, Dato’ Wong Foon Meng, pula berkata sokongan masyarakat Cina terhadap BN semakin meningkat berikutan kesungguhan pemimpin negeri, khususnya Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan pemimpin Pusat, termasuk Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, turun padang untuk meninjau masalah rakyat.

Beliau berkata, pendekatan “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ yang diamalkan kerajaan negeri berjaya menyelami masalah peringkat akar umbi dan tindakan segera diambil bagi menyelesaikannya, berjaya meraih sokongan rakyat.

“Sedangkan pihak pembangkang dari dulu sampai sekarang hanya pandai berjanji, tetapi tidak menunaikan janji. Rakyat Terengganu boleh menilai sendiri apa yang berlaku di negeri-negeri lain yang dikuasai oleh pembangkang kerana mereka sendiri pernah merasai peritnya berada di bawah pemerintahan Pas,” katanya.