Halaman

28 March 2012

Bila senang, kerajaan buat semua tidak betul : MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said meminta penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang mengenang semula kesusahan hidup lampau yang jauh ketinggalan dalam arus pemodenan, seterusnya menghargai nikmat pembangunan yang dikecap hari ini hasil buah pemikiran pemimpin terdahulu.

“Kita lupa sejarah dan hakikat kehidupan lampau..dulu di kalangan kita, tiada kemudahan asas, tandas pun tiada menyebabkan mahu buang air besar pun terpaksa di merata-rata tempat, makan buah kemunting, makan buah nyamuk, buah gelam tikus, buah gucil.

“Kita lupa sejarah menyebabkan kita `gong’, kita lupa asal-usul kita. Apabila sudah senang lenang kita hebat, rasa semua yang dilakukan kerajaan tidak betul. Ini masalah masyarakat kita, penyakit hati, `penyakit kalbu yang kelabu’,” katanya di Majlis Penyerahan e-Book kepada murid Tahun Empat di DUN Rhu Rendang, di Sekolah Kebangsaan (SK) Medan Jaya, Marang, petang semalam.

Turut hadir, Pegawai Daerah Marang, Haji A Rahman Che Ali; Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Haji Nik Dir Nik Wan Ku dan wakil Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Haji Ngah Bidin.

Seramai 723 murid dari 11 sekolah termasuk SK Medan Jaya, SK Pulau Kerengga, SK Kelulut, SK Rhu Rendang, SK Bukit Gasing, SK Batangan, SK Marang, SK Gong Nangka dan SK Rusila menerima e-Book masing-masing.

Menteri Besar berkata, semua penduduk perlu muhasabah diri kerana kehidupan pada masa kini jauh lebih baik disebabkan dasar pendidikan yang dirangka pemimpin sejak awal merdeka lagi di mana ianya dapat dimanfaatkan oleh anak bangsa kita.

Beliau berkata, pendidikan juga menjadi tunggak utama yang boleh mengubah kehidupan yang serba kekurangan menjadi lebih baik.

“Hari ini, kalau musim perayaan, anak cucu balik ke kampung, halaman rumah tidak mampu hendak letak kereta kerana setiap anak-anak memiliki kenderaan masing-masing. Adakah ini membuktikan kehidupan kita semakin susah? Dulu rumah berlantai nibung, dinding kulit kayu, hendak tidur cari pepijat dulu, pakai pelita ayam, mandi air telaga. Musim sekilau cari sekilau, musim lastik burung, cari burung…itu kehidupan kita.

“ Jika dulu ibu bapa tiada pendidikan, tidak pandai membaca. Hari ini, anak-anak tiada lagi yang tertinggal dalam arus pendidikan yang serba moden dan dunia celik IT. Dunia sudah berubah semakin maju dan membangun,” katanya.

Bagaimanapun, katanya ada di kalangan pemimpin parti pembangkang yang tidak bertanggungjawab, hanya tahu bersyarah dan bercakap mengikut emosi serta membangkang setiap pembangunan yang dilaksanakan kerajaan kerana mengutamakan kepentingan politik semata-mata.

Beliau berkata,tindakan tidak berasas kumpulan itu termasuk pada akhir 70-an sehingga awal 80-an, mereka menentang kerajaan kerana mendakwa sistem pendidikan sekular bercanggah dengan Islam seterusnya memperkenalkan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti).

“Mereka buat Pasti, berapa buah Pasti ada di Terenggganu. Kawasan Rusila mungkin ada 50 buah..Bagaimanapun, sekolah rendah Pas, sekolah menengah Pas ada ke? Jika bercanggah dengan Islam jangan hantar anak mereka ke sekolah kerajaan. Kalau halal, halal belaka, kalau haram, haram semuanya. Tiada istilah jika babi di Amerika haram, di negara kita halal.

“Pemimpin Pas Terenggnu juga menghantar anak mereka belajar sekolah menengah, menyambung pengajian di universiti dan mereka lulusan universiti yang diwujudkan Kerajaan Pusat,” kata beliau lagi.