Halaman

07 March 2012

Bayar cukai pintu melalui kaunter bergerak MBKT

Oleh FAUZI MOHD

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) memperkenalkan perkhidmatan kaunter bergerak bagi memudahkan orang ramai berurusan termasuk pembayaran cukai pintu.

Sejak perkhidmatan itu diperkenalkan bulan lalu, kaunter-kaunter tersebut ditempatkan di kawasan tumpuan ramai seperti pusat membeli belah dan pasar-pasar utama dari pukul 10 pagi hingga 3 petang.

Datuk Bandar, Dato’ Adzlan Mohd Dagang bagaimanapun berkata, dalam tempoh sebulan, hanya enam kali kaunter bergerak ditempatkan iaitu pada setiap Sabtu di pusat membeli belah yang terpilih.

"Pada setiap Isnin pula, dua tarikh dipilih dalam sebulan untuk mengadakan kaunter bergerak di pasar-pasar awam." katanya baru-baru ini.

Kata Dato’ Adzlan, sejak dilaksanakan, lebih 100 orang mengunjungi kaunter bergerak yang disediakan bagi mendapatkan maklumat mengenai MBKT dan urusan pembayaran cukai pintu.

Menurut beliau, melalui kaunter bergerak itu, orang ramai yang menerima denda cukai pintu akan dihapus jika mereka membuat pembayaran di kaunter yang disediakan.

Menurutnya, orang ramai juga boleh membuat bayaran saman kesalahan meletak kereta dan penyewaan kedai di kaunter yang disediakan.

"Khidmat kaunter bergerak ini akan diteruskan sehingga akhir tahun ini bagi memudahkan orang ramai berurusan," ujarnya.