Halaman

12 March 2012

120 belia setai perkhemahan perdana generasi 1Malaysia



Oleh: Mohammad Ishak


Seramai 120 peserta mewakili pelbagai pertubuhan belia di daerah Besut menyertai Perkhemahan Perdana Generasi 1Malaysia yang berlangsung di Pantai Pengkalan Atap.Kuala Besut.

Perkhemahan anjuran MAYC Besut dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) bertujuan melahirkan golongan belia yang pro aktif dalam menyelami isu isu semasa.

Program dua hari itu dipenuhi dengan pelbagai aktiviti termasuk riadah, ceramah, tayangan video dan pembentukan kumpulan yang membolehkan peserta mengadakan perbincangan mengenai susuatu tajuk yang diberikan oleh urusetia penganjur.

Sepanjang mengikuti program itu peserta mendapat bimbingan daripada penceramah dari Biro Tata Negara (BTN) yang mengkhususkan mengenai semangat jati diri peserta.

Pengerusi MAYC Besut, Wan Adilah Wan Awang berkata, perkhemahan itu yang julung kali diadakan bertujuan melengkapkan golongan belia dengan ilmu kepemimpinan selain membangkitkan semangat jati diri peserta.

Katanya, peserta juga ditayangkan klip video Peristiwa Bukit Kepong yang membolehkan peserta mengetahui lingkaran sejarah perjuangan pasukan keselamatan dalam menghadapi ancaman pengganas dalam usaha mempertahankan kedaulatan negara.

Menurutnya, bagi memberi keyakinan kepada peserta pihak penganjur turut mengundang Pengerusi Persatuan Bekas Polis Terengganu (PBPT) Haji Hussein Awang Ngah yang menyampaikan ceramah mengenai kisah duka dan pengalaman pahit yang dialami sendiri pasukan keselamatan terutama Polis.

Ketua Penolong Pegawai Daerah Besut, Saidi Sulong ketika menutup program itu memuji usaha yang dilakukan pihak penganjur dengan mengadakan perhimpunan besar untuk memberi penerangan isu semasa kepada belia di daerah itu.