Halaman

17 February 2012

Yakin BN mampu mempertahankan Terengganu

Oleh: Suriati Ali

Pemuda UMNO Perhubungan Terengganu yakin Umno dan Barisan Nasional (BN) mampu mempertahankan negeri Terengganu daripada jatuh ke tangan pembangkang berikutan rakyat mula mempercayai apa yang dilaksanakan parti itu.

Ketuanya, Encik Saiful Bahari Dato’ Baharuddin berkata, semua jentera parti di 32 Dewan Undangan Negeri sudah lama menyusun gerak kerja bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, dalam bakal diadakan dalam tempoh terdekat.

Pemuda Umno kini sedang giat menggempur di seluruh kawasan bagi mengesan setiap masalah rakyat, selain menyakinkan bahawa Umno dan BN adalah parti yang mampu membela nasib rakyat.

“Kita atur gerak kerja mengikut peti undi. Dengan bantuan Ketua-ketua Bahagian setiap kawasan, kita berjumpa dengan rakyat hingga ke akar umbi. Kita mahu mendengar keluhan mereka dan cuba menghulurkan bantuan apa yang termampu.

“Selain itu, kita juga sentiasa mengutamakan daftar pengundi bagi memastikan bilangan pengundi baru pro BN sentiasa bertambah dan ianya sudah pasti membantu kita untuk kekal mentadbir Terengganu,” ujarnya kepada Teganukita.

Katanya, pembangkang sering menabur fitnah terhadap Umno dan ini membuatkan rakyat keliru. Tugas kita adalah menerangkan kepada rakyat kedudukan sebenar.

“Kita tidak mahu rakyat terus tertipu dengan pembangkang yang sanggup melakukan apa sahaja asalkan dapat berkuasa. Selepas itu, nasib rakyat tidak akan dibela. Sejak BN mentadbir negeri Terengganu, dapat dilihat hidup rakyat semakin selesa.

“Selaku sayap, kita akan membantu sebaik mungkin untuk memastikan Umno dan BN sentiasa menjadi pilihan rakyat. Walau apapun yang pembangkang fitnah, kita akan terus menyakinkan rakyat Terengganu bahawa kita adalah yang terbaik,” katanya.