Halaman

16 February 2012

Terengganu cipta sejarah perubatan negara

Oleh; Esah Abdullah

Terengganu mencipta sejarah perubatan negara apabila menjadi negeri pertama di Malaysia dan di Asia Tenggara yang menggunakan peralatan canggih Mesin Tomografi Berkomputer Multiclise (MSCT) yang mampu menghasilkan 64 imej pada setiap imbasan.

Mesin berharga RM2 juta ini juga dapat ditingkatkan keupayaan sehingga 128 imej melebihi keupayaan mesin scan biasa terutama bagi imejan dan isotropik bagi tujuan rekostruksi multiplana (MPR) mengesan penyakit.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, kerajaan memberi sumbangan terbesar melalui Tabung Dana Khas Perubatan bagi menjamin kesihatan, kesejahteraan dan kebajikan yang terbaik untuk rakyat negeri ini.

“Sumbangan berjumlah RM72 juta sejak 2007 yang disalurkan melalui dana berkenaan bertujuan membeli pelbagai kemudahan peralatan termasuk 20 buah ambulan (RM3.2juta, mesin Echocardiography (RM1 juta) dan peralatan untuk perhidmatan Reproduktif bagi Program Bayi Tabung Uji (RM500,000).

“Kerajaan juga telah meluluskan RM1 juta untuk pembelian beberapa peralatan pembedahan serta 10 katil Hospital Kemaman dalam usaha memyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di daerah itu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan RM2 juta kepada Tabung Dana Bantuan Kebajikan Sosial Perubatan di Kompleks Rawatan Harian, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) petang semalam.

Tambahnya, kerajaan sentiasa berusaha untuk penaiktarafan perkhidmatan dan peralatan perubatan dengan menambah peruntukan setiap tahun bagi memastikan kesejahteraan rakyat.

“Peruntukan RM120 juta juga telah diluluskan untuk membina Hospital Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di kawasan 100 hektar ,” katanya.

Katanya, apa yang penting rakyat dapat menikmati mutu perkhidmatan kesihatan setaraf dengan negeri-negeri maju yang lain.