Halaman

08 February 2012

Terengganu bakal bangunkan pusat latihan selenggara pesawat

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri bakal bekerjasama dengan Pusat Penerbangan Taiko di Xiamen, China bagi membuka pusat latihan dalam bidang penyelenggaraan pesawat di negeri ini, tidak lama lagi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad said, berkata kerajaan negeri akan melabur sejumlah wang bagi tujuan membangunkan pusat latihan serta kemudahan sekitarnya yang berkemungkinan dilaksanakan di kawasan Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.

“Kita sudah melawat pusat latihan itu (Taiko) dan pihak mereka akan melawat tempat kita bagi melihat kesesuaian tapak.

“Kalau boleh yang paling berhampiran dengan lapangan terbang kerana selepas membaiki kapal terbang boleh pandu uji kapal terbang itu, kalau dibangunkan di kawasan lain agak sukar,” katanya ketika sidang media selepas melancarkan Anugerah Apresiasi Kecemerlangan UPSR & PMR 2011 dan Pelancaran Program Pendidikan Anjung Ilmu 2012, di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, petang ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman dan Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Encik Hashim Mohd Zin.

Beliau berkata pelajar yang mengikuti latihan daripada pusat penerbangan yang mendapat pengiktirafan peringkat antarabangsa itu kelak berpeluang mendapat pekerjaan di mana-mana syarikat penerbangan di seluruh dunia.

“Pelatih dari Taiko boleh bekerja di mana-mana syarikat penerbangan seluruh dunia. Sekarang saya dimaklumkan ada 50 pelajar dari Malaysia yang menuntut di pusat latihan itu,” katanya.

Menteri Besar berkata, selain bidang perubatan, bidang kejuruteraan dan penyelenggaraan kapal terbang menjadi satu lagi bidang yang boleh diterokai secara intensif oleh pelajar dari negeri ini.