Halaman

22 February 2012

Suntikan HPV kawal kanser pangkal rahim

Oleh; Esah Abdullah

Seramai 10,981 atau 99.3 peratus remaja perempuan daripada jumlah keseluruhan 11,063 orang telah menerima suntikan pelalian Human Papillomavirus (HPV) di negeri ini sepanjang tahun lalu.

Manakala tahun sebelumnya (2010) seramai 11,077 remaja atau 98.7 peratus telah menerima suntikan setelah diberi kebenaran oleh ibu bapa masing-masing daripada jumlah sebenar 11,222 orang.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Anwa Sulaiman berkata, program imunisasi Kementerian Kesihatan ini mula diperkenalkan pada 2010 bertujuan mencegah penyakit kanser serviks dan pangkal rahim dalam kalangan wanita.

“Pelalian ini diberikan sebanyak tiga kali iaitu kali pertama, diikuti suntikan kedua sebulan selepas itu dan ketiag dalam tempoh enam bulan selepas dos pertama,” katanya di majlis sambutan Hari Kanser Sedunia Peringkat Negeri di Dewan Sekolah Menengah Tengku Ibrahim Setiu, semalam.

Sehubungan itu beliau meminta ibu bapa atau penjaga remaja perempuan yang belum menerima suntikan supaya membawa anak masing-masing ke klinik kesihatan seluruh negeri.

Katanya, pelalian di peringkat awal dapat mencegah penyakit kanser serviks dan pangkal rahim yang banyak menyerang golongan wanita.

Menurut Dr. Anwa, sebanyak 16 kes dikesan mengidap penyakit itu pada 2010 berbanding 24 orang pada 2009.

Beliau menasihatkan mana-mana wanita yang mempunyai tanda-tanda awal mengenai penyakit kanser pangkal rahim segera mendapatkan rawatan di hospital kerana penyakit dapat dikawal jika berada peringkal awal.