Halaman

24 February 2012

Sultan Mizan berkenan berangkat merasmikan DKU


Oleh: Suriati Ali


Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dijangka berangkat merasmikan Desa Ukiran Kayu (DKU) di Kampung Raja, hari ini (Jumaat) dalam rangka lawatan baginda selama dua hari ke daerah ini.

Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) dalam satu kenyataan memberitahu, baginda diiringi Sultanah Nur Zahirah akan berangkat ke majlis perasmian pada pagi hari itu.

DKU yang ditubuhkan oleh YPU dan diselia oleh Terengganu International Design Excellence Sdn. Bhd. (TIDE) merupakan institusi yang menawarkan pengajian berteraskan pendidikan vokasional dan keusahawanan ukiran kayu.

Penubuhannya di daerah yang terkenal dengan pengukir ternama bertujuan menyuburkan seni ukiran kayu dengan kemunculan lebih ramai anak tempatan mewarisi kemahiran dan mampu diketengahkan sebagai usahawan.

Selepas upacara tersebut, baginda akan berangkat menunaikan solat Jumaat dan merasmikan Masjid Kayu Seberang Jerteh iaitu salah satu masjid seni bina Melayu yang terindah di negara ini.

Pada pukul 3.45 petang hari sama, baginda berdua akan menghadiri majlis jamuan teh bersama rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permaisuri Nur Zahirah di Limbongan.

Pada hari Sabtu, baginda akan berangkat ke majlis taklimat mengenai pembangunan daerah di Pejabat Daerah Besut.