Halaman

04 February 2012

Serupa tapi tak sama

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Memulakan ucapan di majlis Perdana Menteri Bersama Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, semalam, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak menarik perhatian kira-kira 10,000 hadirin, apabila beliau memaklumkan di Raub, Pahang juga terdapat DUN menggunakan nama Batu, iaitu Batu Kurap.

Secara logiknya, kata beliau, “Batu Kurap” lebih teruk daripada “Batu Buruk”, tetapi keadaan sebaliknya berlaku.

Perdana Menteri berkata, DUN Batu Kurap sejak merdeka hingga kini sentiasa berada di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN), tetapi DUN Batu Buruk dikuasai Pas sejak 26 tahun lalu.

“Penduduk di DUN Batu Buruk tidak merasai berada di bawah pemerintahan wakil rakyat BN sejak 1986,” katanya ketika berucap pada majlis YAB Perdana Menteri Bersama Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Budiman, petang semalam.

Dato’ Sri Mohd Najib secara bergurau berkata, nama Batu Buruk tidak perlu ditukar seperti kebiasaan kepercayaan masyarakat Melayu menukar nama anak mereka yang sering sakit, kerana beliau yakin pengundi di Batu Buruk akan memilih BN pada pilihan raya umum akan datang.

Bagi menggapai imipian itu, beliau mahu semua pihak berganding bahu bagi memastikan DUN Batu Buruk dirampas semula oleh BN pada pilihan raya akan datang.

“Kita perlu bekerja lebih kuat di DUN Batu Buruk supaya kita menang pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Perdana Menteri memberi amaran bagi mencapai hasrat tersebut, tidak ada ‘cas kenting’ dan semua pihak perlu akur dengan keputusan pucuk pimpinan parti dan BN dalam menentukan calon untuk bertanding di kawasan berkenaan.