Halaman

06 February 2012

Sambutan luar biasa kunjungan PM petanda baik kebangkitan BN

Dato' Seri Haji Ahmad Said ketika meninjau sistem perparitan di sekitar Parlimen Marang dalam rangka program Sehari Bersama Menteri Besar. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Amirullah Othman

Sambutan luar biasa penduduk tempatan terhadap kunjungan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak ke Terengganu minggu lalu, khususnya di kawasan yang dikuasai Pas, merupakan petanda baik kebangkitan BN di negeri ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata Perdana Menteri puas hati dengan sambutan rakyat dan program yang diatur sempena Program YAB Perdana Menteri Bersama Penduduk DUN Batu Buruk dan Rhu Rendang.

“Dengan sambutan luar biasa rakyat itu, kita yakin dapat merampas semula kedua-dua DUN berkenaan serta DUN Ladang daripada Pas,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan di daerah Marang, hari ini.

Sebelum itu, beliau yang diringi ketua-ketua jabatan berkaitan ‘turun padang’ meninjau sistem perparitan dan jalan kampung di empat DUN dalam kawasan Parlimen Marang, yang perlu diperbaiki dan dinaik taraf untuk keselesaan rakyat.

Dato’ Seri Haji Ahmad yang juga Menteri Besar berkata, BN negeri akan memperkemaskan jentera parti dan memperbaiki kelemahan yang ada bagi memantapkan persiapan sebelum pilihan raya umum akan datang.



Mengenai masalah ‘cah keting’ yang diungkitkan Perdana Menteri dalam ucapannya di Batu Buruk, beliau berkata masalah itu berlaku di mana-mana dan pihaknya akan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan perkara itu tidak akan berlaku pada pilihan raya akan datang.

“Kita yakin dengan sokongan rakyat dan kini mereka semakin sedar pengorbanan besar kerajaan bagi membantu penduduk dalam semua aspek kehidupan, termasuk mengelakkan kenaikan harga barang yang keterlaluan.

“Rakyat perlu sedar bahawa Kerajaan Pusat mengeluarkan perbelanjaan besar pada setiap tahun bagi memberi pelbagai bantuan, termasuk Bantuan Rakhyat 1 Malaysia,” katanya.