Halaman

08 February 2012

RM100 juta untuk baiki, naik taraf jalan di Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Lebih RM100 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri tahun ini untuk kerja-kerja pembinaan jalan baru dan menaik taraf jalan lama agar mencapai tahap di tetapkan di seluruh Terengganu.



Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, daripada jumlah itu RM58 juta disalurkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan RM39 juta diperuntukkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).



Di Kemaman kata beliau, sejumlah RM3.25 juta diagihkan untuk tujuan berkenaan membabitkan peruntukkan sebanyak RM1 juta untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik dan masing-masing RM750,000 untuk tiga DUN lagi iaitu Kijal, Chukai dan Air Putih.

“Sesi lawatatan kerja saya bersama PBT di setiap daerah ini untuk melihat dan meluluskan peruntukkan pembinaan jalan baru, melapis jalan sedia ada dan menaik taraf jalan agar mencapai tahap yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita ketika turun padang meninjau projek pembangunan di sekitar Kemaman, semalam.

Turut serta, ADUN Kemasik, YB. Ir. Rosli Othman; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato' Mat Razali Kassim; Pegawai Daerah Kemaman, Mohamad Kamil Othman dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Mustafar Khalid.



Sementara itu, Dato’ Seri Ahmad turut meminta JKR agar segera menyelenggara Jalan Jerangau-Jabor dan Jalan Ibok-Seri Bandi yang mengalami kerosakan teruk selepas musim tenkujuh baru-baru ini.

“Kita banyak menerima aduan menerusi SMS (khidmat pesanan ringkas) dan sebagainya daripada orang ramai mengenai kerosakan jalan-jalan berkenaan kerana biasalah selepas banjir, hujan lebat banyak jalan rosak,” ujarnya.



Dalam lawatan itu, Menteri Besar turut melawati tapak perumahan untuk 500 unit rumah kos rendah di Teluk Kalong, sistem longkang dan perparitan di sekitar Kemaman dan projek pembangunan Bandar Baru Kijal.

Turut dilawati, bangunan kedai di Kemasik, jalan di Meraga Beris, projek naik taraf Masjid Ar Rahman Bukit Kuang serta Hospital Kemaman.