Halaman

27 February 2012

Polis Besut lancar National Blue Ocean Strategy (NBOS)




Oleh: Mohammad Ishak


Pelaksanaan National Blue Ocean Strategy (NBOS) bertujuan meningkatkan rondaan di kawasan hotspot oleh pasukan keselamatan mula dilaksanakan di bandar Jertih oleh agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) bermula hari ini.

Empat anggota masing-masing dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan penguatkuasa Majlis Daerah Besut (MDB) menumpukan persekitaran Bandar Jertih.

Anggota terbabit akan bertugas selama empat jam bermula jam 11 pagi setiap hari akan membuat rondaan secara bersepadu dan membuat pemereksaan rambang terhadap orang awam .

Ketua Polis Daerah Besut, Supertentanden Kamaruddin Mohd Zakaria berkata,daerah itu melaksanakan program berkenaan bermula hari ini bertujuan mencegah jenayah setempat.

Katanya,seorang anggota daripada agensi terbabit akan ditugaskan membuat rondaan bersama dengan PDRM dan tumpuan kini diberikan kepada persekitaran Bandar Jertih.

Menurutnya, program yang sudah dilaksanakan di peringkat nasional ketika ini hanya membabitkan empat agensi di bawah KDN.Ia mungkin diperluaskan kepada agensi lain yang berkaitan termasuk anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) di bawah Kawasan Rukun Tetangga (KRT).

Beliau berkata, dengan adanya kaedah rondaan secara bersepadu membabitkan pelbagai agensi keselamatan itu diharap masyarakat memberi sokongan dan kerjasama sepenuhnya jika anggota terbabit yang datang di kawasan penduduk.