Halaman

03 February 2012

PM hadir jamuan rakyat di Masjid Al-Muktafi Billah Shah

Oleh FAUZI MOHD

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak menghadiri majlis jamuan makan tengah hari bersama rakyat, sejurus selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, Kuala Terengganu, sebentar tadi.



Beliau yang tiba di perkarangan masjid pada kira-kira pukul 1.15 tengah hari terus memasuki barisan hadapan ruang solat, selepas bersalaman dengan ramai para jemaah yang menyambut ketibaannya.

Turut hadir Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said; Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Farid Wan Salleh dan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, Dato’ Wan Hisham Wan Salleh serta pemimpin negeri yang lain.



Khutbah Jumaat yang bertajuk “Hayatilah Sunnah Rasulullah SAW” disampaikan Imam Besar negeri, Aizi Saidi Abdul Aziz.



Selesai solat, Perdana Menteri menyertai lebih 2,000 jemaah ke khemah bersebelahan masjid untuk majlis jamuan makan tengah hari bersama rakyat.



Beliau kemudiannya meninggalkan majlis untuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Budiman di DUN Batu Buruk bagi program berikutnya.