Halaman

03 February 2012

PM ajak rakyat imbau kenangan pahit Pas perintah Terengganu

Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak ketika merucap mengingatkan rakyat Terengganu terutama penduduk Dun Batu Buruk supaya tidak lagi mengalami peristiwa pahit pada tahun 1999 apabila Pas memerintah Terengganu. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Esah Abdullah

Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, mengajak rakyat Terengganu supaya mengimbau kembali kenangan pahit yang mereka alami sewaktu pemerintahan Pas pada tahun 1999, apabila parti itu memerintah negeri ini.

Malah, beliau memberi amaran mereka akan menerima nasib serupa – di mana kebajikan mereka terabai dan tidak ada sebarang pembangunan dilakukan bagi membela nasib rakyat sepanjang pemerintahan parti itu – jika mereka memilih calon Pas pada Pilihan Raya Umum akan datang.


“Masihkah Kau Ingat apa yang berlaku pada tahun 1999 hingga 2004 apabila Pas memerintah Terengganu?,” katanya ketika berucap pada majlis YAB Perdana Menteri Bersama Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Budiman, petang ini.

Hadir sama, Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Norliza Mahmud; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan ketua-ketua UMNO bahagian seluruh negeri.

Berdasarkan perkembangan politik semasa Perdana Menteri yakin rakyat Terengganu, khususnya penduduk di DUN Batu Buruk tidak mahu mengulangi kesilapan mereka memilih Pas untuk menerajui pemerintahan negeri Terengganu.

Sehubungan itu, beliau meminta pengundi di DUN Batu Buruk dan semua DUN di negeri ini memilih calon BN pada pilihan raya umum akan datang agar mereka terus mengecapi nikmat pembangunan dan pemberian pelbagai subsidi untuk kesejahteraan mereka dan keluarga.

Beliau meminta rakyat usah tertipu dengan slogan yang dimainkan oleh pemimpin Pas – Membangun Bersama Islam – kerana ia hanya indah pada nama saja.

“Pas tidak mampu mentadbir negeri dan negara ini kerana mereka hanya pandai mencipta slogan tetapi tidak melakukan apa-apa untuk meningkatkan syiar Islam,” ujar beliau.

Sebaliknya, kata beliau, BN mempunyai banyak lagi agenda untuk membangunkan negara pada masa depan, termasuk meningkatkan syiar Islam, walaupun mereka tidak mencanangkan usaha-usaha ke arah itu.