Halaman

12 February 2012

Peruntukan RM6.7 j bina tebatan banjir di Sungai Pertang

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri meluluskan peruntukan kira-kira RM6.7 juta untuk membina tebatan banjir bagi mendalam dan melebarkan Sungai Pertang, Hulu Terengganu yang bertujuan mengelak masalah banjir di pekan Kuala Berang.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata selain projek di Sungai Pertang yang melibatkan kawasan sepanjang 11 kilometer, dua kolam takungan juga dibangunkan di kawasan itu termasuk satu daripadanya dibina pada tahun lalu bagi tujuan yang sama.

“Pada tahun lalu, kita sudah beri satu pembinanan kolam takungan dan selepas ini satu lagi kolam takungan dibuat sebaik sahaja kerja melebar dan mendalam Sungai Pertang RM6.7 juta ini disiapkan.



“Saya minta Jabatan Pengairan dan Saliran Hulu Terengganu supaya dapat mengeluarkan tender segera yang boleh bagi mempercepatkan kerja tersebut,” katanya ketika sidang media selepas mengadakan Lawatan Kerja Ke Kawasan Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT), hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Haji Rozi Mamat; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Dato’ Rosol Wahid; Adun Kuala Berang Haji Zawawi Ismail.
Turut hadir, Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Haji Wan Mohd Wan Ibrahim dan Yang Dipertua MDHT, Haji Talaha Ali.

Dalam pada itu, lawatan kerja Menteri Besar ke Hulu Terengganu adalah yang ketiga selepas di Kemaman dan Marang.

Sebagaimana daerah lain, Menteri Besar turut meluluskan peruntukan RM750,000 bagi kerja-kerja melebar, menaik taraf dan membaiki semula jalan bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di Hulu Terengganu yang keseluruhannya melibatkan RM3 juta.



Selain itu, beliau turut meminta Pihak Berkuasa Tempatan, MDHT dan JPS memperincikan setiap permintaan penduduk untuk membina longkang dan perparitan bagi membolehkan pihaknya menjalankan kajian semula dari aspek saiz dan kos sebelum kelulusan dibuat dari masa ke semasa.