Halaman

10 February 2012

Sultanah Nur Zahirah melawat KTNZ



Oleh FAUZI MOHD

Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat melawat Kompleks Tuanku Nur Zahirah (KTNZ) di Kampung Tanjung Bunut, Manir, Kuala Terengganu petang tadi.

Baginda tiba di kompleks songket dan batik berkenaan kira-kira pukul 4 petang bersama puteri, Tengku Fatimatuz Zahra.

Ketibaan baginda disambut isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Azmi Razik.

Baginda turut diberi taklimat oleh Azmi berkenaan kompleks itu yang mula beroperasi 25 Mei tahun lalu dan kini menjadi ikon pelancongan terbaru di Terengganu.

Kompleks yang dibina dengan kos RM4.6 juta itu mampu meningkatkan ekonomi negeri dengan kedatangan peminat songket dan batik dari dalam dan luar negara.

KTNZ juga akan menjadi pusat informasi berkaitan perkembangan dan pembangunan tekstil tenun songket bersepadu selain pusat penyelidikan serta menyalurkan khidmat profesional berkaitan seni dan teknologi bertaraf antarabangsa.



Sementara itu bercakap kepada pemberita, Dato’ Mohamed Awang berkata, Terengganu bakal mewujudkan Institut Kemahiran Sultanah Nur Zahirah yang akan dilaksanakan di KTNZ.

Katanya institut berkaitan songket, batik, ukiran kayu dan kraftangan itu akan dikelolakan YPU.

"Kita menjangkakan institut ini akan mula beroperasi pada pertengahan tahun ini dan kita menyasarkan golongan muda dan penduduk tempatan untuk mengikuti kursus di situ," katanya.





Beliau berkata pihaknya menyasarkan seramai 30 hingga 40 pelajar dapat mengikuti kursus di institut itu dalam satu sesi dan setiap penuntut akan diberikan elaun sebanyak RM450 sebulan oleh YPU.

Katanya penuntut akan mengikuti kursus di institut itu selama setahun setengah dan penubuhan institut itu setanding dengan Institut Kraftangan dan sijilnya juga diiktiraf Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK).

Dato’ Mohamed berkata, penubuhan institut itu bertujuan menggalakkan remaja dan penduduk tempatan untuk mempelajari teknik pembuatan songket, batik dan kraftangan sekaligus dapat membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.