Halaman

23 February 2012

Kolej Komuniti sebagai institusi ampuh : Dato' Seri Khalid

Oleh: Aida Abd Rahman dan Che Mohd Hisham Che Jamaluddin (pelatih)

Kolej Komuniti perlu bersedia menjadi institusi ampuh yang mampu menyediakan keperluan kepada komuniti setempat melalui latihan dan kemahiran.

“Ini bermakna Kolej Komuniti perlu melaksanakan usaha-usaha penambahbaikan secara berterusan sekaligus menarik penglibatan lebih ramai komuniti untuk menyertainya.

“Saya sedia maklum, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi tujuan ini dan ia termasuk pengenalan kepada kursus modular yang memberi fokus kepada latihan dan kemahiran secara berfokus dan mengambil tempoh atau jangka masa yang lebih singkat,” kata Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin di Majlis Perasmian Kolaborasi Bersama Industri Petrokimia, Minyak dan Gas serta Penutup Kayuhan Lasak dan Fixie East Coast Eco Challenge (ECEC), di Kampung Atas Tol, Kuala Terengganu, hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan Setiausaha Politik Menteri Pengajian Tinggi, Encik Mohd Khairi Abdul Malik.

Turut hadir, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong, Encik Zaidi Muda; dan Pengarah Kolej Komuniti Kuala Terengganu, Encik Mohd Rohimi Yusof.

Beliau berkata, sejak kursus modular ini diperkenalkan pada 2010, seramai 28,373 orang menyertainya termasuk 6,539 penyertaan direkod pada tahun ini.

Selain itu, bagi memperkukuhkan lagi sumbangan Kolej Komuniti, peranannya turut diperkasakan dengan penglibatan menjayakan Pprogram Pemindahan Ilmu atau `Knowledge Transfer Programme’. yang bertujuan menyebarluas hasil penyelidikan dan inovasi daripada universiti untuk kepentingan masyarakat setempat.

“Saya difahamkan, usaha ini sedang dijayakan antara kolej komuniti dan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dalam pelbagai bidang kerjasama seperti keusahawanan, akuakultur,latihan pereka grafik animasi dan sebagainya.

“Melalui penonjolan baru Kolej Komuniti ini akan dapat menyerlahkan lagi kedudukan institusi ini dalam pembangunan masyarakat tempatan di seluruh negara,” katanya.