Halaman

29 February 2012

Ketengah terima peruntukkan pembangunan RM21.5 juta

Oleh FAUZI MOHD

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memperuntukkan RM21.5 juta kepada Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) bagi projek pembangunan di wilayah kemajuan itu pada tahun ini.

Menterinya, Dato’ Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, peruntukan itu bagi penyediaan prasarana dan kemudahan asas yang diperlukan serta kediaman untuk penduduk setempat.

Menurutnya, salah satu komponen pembangunan Ketengah iaitu Bandar Ketengah Jaya bakal berubah wajah apabila projek pembesaran kawasan itu dilaksanakan tidak lama lagi membabitkan peruntukan permulaan kira-kira RM9 juta.

“Projek tersebut melibatkan tiga fasa pembangunan termasuk penyediaan infrastruktur, rumah kediaman dan premis kedai.

“Bagi fasa pertama, projek itu melibatkan kawasan seluas kira-kira lapan hektar untuk projek prasarana serta pembinaan 224 lot kediaman,” katanya selepas menyempurnakan majlis pecah tanah projek pembesaran Bandar Ketengah Jaya, Dungun semalam.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Dr. Rosli Mat Hassan; Ahli Parlimen Dungun, Datuk Matulidi Jusoh; Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Besi, Datuk Din Adam; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Ibrahim Muhamad dan Pengurus Besar Ketengah, Wan Mat Amin Wan Daud

Di samping itu jelas Dato’ Seri Mohd. Shafie, kawasan itu juga akan dimajukan dengan premis kedai selain memajukan sektor perladangan di kawasan itu.

"Untuk fasa pertama tahun ini, sebanyak RM9 juta diperuntukkan dan jika ada keperluan untuk tahun depan, peruntukan tambahan lebih RM12 juta lagi akan disediakan bagi membangunkan kawasan ini," ujarnya.