Halaman

15 February 2012

Hospital swasta baru RM200 juta dibina di Batu Buruk

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM200 juta bagi membina sebuah lagi hospital swasta di Batu Buruk bagi menampung kesesakan pesakit di hospital kerajaan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, pembinaan hospital di bawah TDM bakal menyediakan 150 katil yang akan memberi altenatif kepada rakyat di negeri ini untuk mendapatkan rawatan yang lebih baik dan selesa.

“Kerja-kerja pembinaan dijangka paling lewat dapat dimulakan pada Jun depan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan dana bantuan Kebajikan Sosial Perubatan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kompleks Rawatan Harian, Kuala Terengganu, petang ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr Haji A. Rahman Mokhtar; Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr. Haji Anwa Sulaiman dan Pengarah HSNZ, Tengku Ramlah Tengku Senik.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, hospital ini akan dibina di atas tapak kuarters kerajaan yang terletak bersebelahan Sekolah Menengah Sultan Zainal Abidin (Atas) Batu Buruk dan rumah berkenaan akan dirobohkan bagi membina bangunan hospital berkenaan.

Selain itu kerajaan telah memperuntukkan RM72 juta bagi mengisi Tabung Dana Khas untuk pembangunan kesihatan di negeri ini dalam tempoh lima tahun bermula 2007 hingga akhir 2010.

Tabung berkenaan dibahagikan kepada dua iaitu menaik taraf perhidmatan perubatan (RM62 juta) dan untuk kebajikan sosial perubatan (RM10 juta).

Menteri Besar kemudiannya menyerahkan sumbangan RM2 juta untuk Dana Bantuan Kebajikan Sosial Perubatan negeri kepada Dr. Haji Anwa serta RM20,000 untuk Tabung Kebajikan Perubatan HSNZ yang diterima Pengarah HSNZ, Tengku Ramlah.

Dato’ Seri Haji Ahmad juga turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM22,088 beserta kerusi roda kepada tiga orang pesakit kronik.