Halaman

01 February 2012

Bajet Negeri Terengganu 2012 tumpu lebih banyak pembangunan rakyat

Oleh: Mohammad Ishak


Dr A Rahman Mokhtar (tengah) menjawab soalaan peserta dialog


Daerah Besut dan Setiu terus mendapat perhatian kerajaan negeri apabila pelbagai projek pembangunan untuk rakyat akan dilaksanakan di daerah terbabit menerusi pelan pembangunan yang rancang menerusi bajet 2012.

Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dr A Rahman Mokhtar berkata, dua daerah berkenaan tidak pernah disisihkan kerajaan sebaliknya rakyat di kawasan terbabit akan menikmati lebih banyak limpahan pembangunan.

Antara projek yang yang sedang dilaksanakan termasukah meningkatkan hasil pengeluaran padi dengan membina ampangan di Paya Beda, Hulu Besut dan pembangunan pertaanian di Lembah Setiu.

Katanya, dalam bidang pendidikan pembinaan Taman Ilmu di Kampung Tembila berhampiran sempadan Besut/Setiu juga bakal menyaksikan perubahan landskap pembangunan di kawasan terbabit apabila ia mula beroperasi akhir tahun depan.

Bukan itu sahaja, katanya, dalam industri pelancongan tiga tempat pelancongan terkenal iaitu LA Hot Spring, Pulau Perhentian dan Air Terjun Lata Belatan, turut mendapat peruntukkan khas untuk dimajukan sebagai pusat pelancongan terkenal di negeri ini.

Dr A Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut,berkata demikian ketika menyertai sesi dialog sempena Majlis Penerangan Bajet Negeri Terengganu 2012 di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB) Gong Kemuntong, semalam.

Turut hadir ialah Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh, Timbalan Pegawai Kewangan Negeri, A Rahman Yahya, Penolong Kanan Setiausaha Kerajaan Negeri (Kewangan) dan Penolong Kanan Pengarah (Bajet) UPEN, Normah Nik.

Majlis anjuran Pejabat Daerah Besut itu disertai Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan Setiausaha, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Daerah Besut dan Setiu, pemimpin NGO dan ketua-ketua jabatan kerajaan dari dua daerah berkenaan.