Halaman

23 February 2012

Ambil peluang kunjungi pameran

Oleh: Suriati Ali

Tarikan pengunjung pada Pameran Khazanah Islam dari China, di Muzium Negeri, Losong, Kuala Terengganu dijangka berganda apabila tiba cuti persekolahan penggal pertama nanti berbanding hari biasa.

Pada hari tersebut, orang ramai terutama ibu bapa dapat meluangkan lebih masa bersama keluarga masing-masing, selain ingin menghabiskan waktu terluang bersama anak-anak.

Timbalan Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT), Encik Che Azmi Ngah, berkata sebanyak 80 artifak dipamerkan pada pameran yang julung kali diadakan itu semata-mata mahu menarik minat orang ramai dan pelancong asing mengunjungi muzium.

Katanya, artifak al-Quran emas merupakan satu contoh daripada puluhan simbol kesenian Islam yang bernilai jutaan ringgit dari pelbagai dinasti-dinasti China mampu menarik minat orang ramai.

”Berdasarkan kepada khazanah berharga ini juga, saya dapati persaudaraan Islam tidak mengenal golongan, suku, bangsa dan keturunan.

”Persaudaraan Islam menghimpunkan semua kaum Muslimin dari seluruh
pelusuk dunia. Lebih daripada itu, Islam tidak hanya dikhususkan kepada golongan tertentu sahaja, sebaliknya agama Islam merupakan agama untuk semua umat di dunia,” katanya.

Katanya, pihaknya berharap agar pameran ini bakal mendekatkan lagi hubungan dua rumpun bangsa yang dipisahkan oleh sempadan negara masing-masing ini.

”Pelbagai artifak lain yang turut dipamerkan melalui pameran ini juga bakal memberikan satu impak serta satu informasi baru, khususnya kepada semua rakyat di negeri Terengganu, tidak kira besar atau kecil, tua ataupun muda.

”Justeru, saya menyaran semua rakyat Terengganu, khususnya generasi muda yang menjadi harapan bangsa dapat mengambil peluang untuk menyaksikan pameran ini,” katanya.


Jadikan pemeran ini sebagai pencetus semangat kita semua untuk mencipta suatu tamadun yang lebih hebat pada masa hadapan.