Halaman

28 February 2012

Seramai 680 murid berkampung sertai pertandingan lalu lintas

Oleh: Aida Abd Rahman

Seramai 680 murid daripada 40 sekolah rendah seluruh Terengganu bakal berkampung di Taman Bandar Chukai, Kemaman bagi menyertai Pertandingan Pendidikan Lalulintas Sekolah-sekolah Malaysia peringkat negeri pada 1 hingga 3 Mac ini.

Pertandingan tahunan anjuran Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Negeri Terengganu dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) dan penaja utama Shell Malaysia Berhad bertujuan melengkapkan pelajar dengan pengetahuan dan panduan supaya mereka lebih peka mengenai undang-undang jalan raya.

Setiausaha MKJR Negeri Terengganu, Encik Nasran Abd Halim, berkata pertandingan pendidikan lalu lintas ini dilaksanakan kepada pelajar sekolah di Malaysia sejak 1957 lagi melalui Pengurusan Shell Malaysia yang dikenali sebagai `Shell Trafic Games’ (STG).

“Program ini dilaksanakan antara lain bermatlamat menimbulkan kesedaran terhadap diri pelajar sendiri, keluarga dan pengguna-pengguna jalan raya yang lain mengenai pentingnya keselamatan jalan raya.

“Malah, ia juga dapat mengekalkan tabiat baik dan pendedahan mengenai penggunaan jalan raya kepada golongan sasar yang melibatkan semua peringkat zon, daerah, negeri dan kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata, pengisian program termasuk pertandingan lalulintas bagi kategori pejalan kaki, penunggang basikal, pemandu pedalcar, ujian bertulis dan kuiz berkomputer

Untuk rekod, Terengganu muncul juara keseluruhan Pertandingan Pendidikan Lalulintas Sekolah-sekolah Malaysia Peringkat Kebangsaan 2011 yang diadakan di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur November lalu.