Halaman

13 February 2012

600 pelajar SMK sertai perkhemahan pandu puteri

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra.

Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Terengganu (PPPMCT) akan mengadakan perkhemahan peringkat negeri bertempat di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail Telaga Batin, Kuala Terengganu.

Ketua Pesuruhjaya PPPMCT, Puan Zaini Mohd Nor berkata, perkhemahan yang berlangsung empat hari bermula 8 hingga 11 Mac depan akan disertai 600 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) seluruh negeri.

“Perkhemahan tahun ini turut membabitkan Tunas Puteri sebagai pendedahan awal kepada pelajar Sekolah Kebangsaan (SK),” katanya kepada Teganukita.

Katanya, melalui perkhemahan dapat membantu melahirkan sebuah pasukan yang berdisiplin dan mempunyai semangat juang yang tinggi serta memupuk keseimbangan dalam akademik dan kokurikulum.

Selain itu, peserta dapat memupuk semangat jati diri, saling bekerjasama, berdikari serta meningkatkan motivasi ke arah pembentukan sahsiah diri.

“Beberapa aktiviti disediakan seperti ujian lencana kecekapan pandu puteri, ujian sijil pertolongan cemas dan ujian sijil juru masak khusus untuk guru pengiring untuk pengiktirafan sijil kejurulatihan,” katanya.

Katanya,program tahunan PPPMCT ini juga turut menyelitkan aktiviti kerohanian termasuk kuliah, ceramah agama serta motivasi.