Halaman

15 February 2012

40 rumah Orang Asli dibina di Sungai Berua

Oleh FAUZI MOHD

Sebanyak 88 keluarga Orang Asli di Kampung Sungai Berua, Hulu Terengganu bakal mempunyai kediaman baru yang lebih selesa apabila kerajaan negeri bersetuju membina 40 unit lagi rumah untuk mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, YB. Rozi Mamat berkata, tambahan kediaman Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) itu akan dibina tahun ini dengan setiap seunit bernilai RM33,000 dan dilengkapi tiga bilik tidur.

Kata beliau, buat masa ini kerja-kerja penyediaan tapak seluas kira-kira 12 hektar selain kemudahan infrastruktur bernilai kira-kira RM2 juta sudah siap dilaksanakan.

"Pada masa ini terdapat 30 rumah yang dihuni masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Berua dan tahun ini kita akan bina lagi 40 rumah untuk mereka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian sumbangan program Jalinan Murni Masyarakat Orang Asli di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Berua semalam.

Turut hadir, Pegawai Khas kepada Pengarah Urusan Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Muhammad Abdul Razak Abdullah dan Guru Besar SK Sungai Berua, Marzilaini Muhamad.

Dalam perkembangan lain, Rozi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri berkata, kerajaan negeri turut meluluskan kawasan seluas kira-kira 245 hektar berhampiran perkampungan itu untuk projek menanam kelapa sawit.

Beliau memberitahu, projek tersebut dijangka dilaksanakan tahun ini yang antara lain mampu membantu meningkatkan pendapatan masyarakat Orang Asli di situ.

"Projek kelapa sawit ini akan diusahakan oleh Felcra dan diurus tadbir oleh kerajaan negeri dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli," ujarnya.