Halaman

26 January 2012

Wali Band jelajah Terengganu Mac ini

Oleh FAUZI MOHD



Kumpulan muzik pop kreatif tersohor dari Indonesia, Wali Band akan dijemput untuk mengadakan konsert jelajah di empat daerah di Terengganu pada Mac ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, konsert percuma itu akan bermula di Kemaman sebelum meneruskan jelajah ke Besut, Hulu Terengganu dan berakhir di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu.

Menurutnya, kumpulan yang ditubuhkan pada Oktober 1999 itu dipilih kerana elemen seni dan muzik yang dipersembahkan mampu mendidik masyarakat dengan lagu berkonsepkan ketuhanan serta irama nasyid.

“Pendekatan ini dilihat boleh menjadi wadah untuk menarik minat golongan belia berkumpul dan bergaul secara positif kerana Kerajaan negeri memahami cita rasa orang muda

“Karya seni lima anak muda memang diminati golongan muda di negeri ini memandangkan mereka bermula dari sebuah sekolah pondok di Indonesia sebelum melanjutkan pengajian ke Universiti Islam Syarif Hidayatullah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) di Taman Tamadun Islam, di sini malam tadi yang turut dihadiri Pengarah APMT, Roshali Taha.

Tambah Dato’ Seri Ahmad, konsert anjuran Kerajaan negeri itu akan dikendalikan beberapa badan bukan kerajaan (NGO), persatuan kesenian dan kebudayaan serta Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu.

“Bagi pusingan kedua, Wali Band yang banyak menyampaikan mesej-mesej Islam di dalam kebanyakan lagunya akan meneruskan persembahan mereka di daerah Dungun, Marang dan Setiu,” jelasnya sambil memberitahu tarikh dan lokasi persembahan akan dimaklumkan kemudian.

Sementara itu, di majlis berkenaan, lapan APMT di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) memenangi Anugerah APMT Terbaik iaitu DUN Jertih dari Parlimen Besut, DUN Permaisuri (Setiu) dan DUN Teluk Pasu (Kuala Nerus).

Bagi Parlimen Kuala Terengganu dimenangi APMT DUN Bandar, DUN Kuala Berang (Hulu Terengganu), DUN Rhu Rendang (Marang), DUN Bukit Besi (Dungun) dan DUN Chukai (Kemaman).

Dato’ Seri Ahmad turut menyampaikan Anugerah Khas Menteri Besar kepada Ketua Penyelia APMT DUN Kota Putera, Ismail Shafie dan Pembantu Penyelia APMT DUN Manir, Gayah Ismail.