Halaman

09 January 2012

Tok Dor raih tiga anugerah peringkat daerah

Oleh: Aida Abd Rahman

Sikap sentiasa bertoleransi, bermuafakat dan bekerjasama menjadi asas kepada kejayaan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tok Dor memenangi wang tunai RM15,000 selepas merangkul tiga anugerah di Majlis Anugerah JKKK Daerah Hulu Terengganu 2011, di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, baru-baru ini.

Pengerusinya, Encik Mohamad Ngah, berkata dalam setiap gerak kerja dan aktiviti kemasyarakatan, pihaknya sentiasa menanam amalan permuafakatan yang membolehkan mereka menyiapkan tugasan dengan lancar dan baik.

Katanya, sikap itu juga menjadi resipi kepada kejayaan kampungnya sejak kebelakangan ini dan terbaru, berjaya menggondol Anugerah Desa Cemerlang, Anugerah Kebersihan dan Anugerah Unit Kawalan Kampung Paling Aktif.

“Kami berpuas hati dengan kejayaan yang diperolehi hasil gandingan perpaduan dan kerjasama JKKK dengan penduduk kampung dalam memastikan komuniti hidup dalam keadaan aman, sihat dan ceria.

“Kejayaan yang diraih kali ini juga menjadi pendorong untuk meraih kejayaan lain lagi di masa depan dan di peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Turut hadir di majlis itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Ajil, Dato’ Rosol wahid dan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, YB Mohd Nor Othman.