Halaman

05 January 2012

TDMP terima tauliah akreditasi amalan pertanian yang baik

Dato’ Roslan Awang Chik (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Pengerusi TDMP, Dato’ Mohd Jidin Shafee. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Oleh: Aida Abd Rahman

TDM Plantation Sdn Bhd (TDMP) menerima pentauliahan akreditasi `Code of Good Agricultural Practice for Oil Palm Estates and Smallholdings' daripada Lembaga Kelapa Sawit Malaysia (MPOB).

Ketua Pegawai Eksekutif TDMP, Haji Ab Halim Yusof, berkata akreditasi yang sah selama tiga tahun itu adalah satu kejayaaan bagi syarikat dalam usaha penambahbaikan berterusan dalam kerja-kerja pengeluarannya.

"Pentauliahan ini bermakna mutu dan pengeluaran Crude Palm Oil (CPO) mesti diperoleh daripada buah kelapa sawit yang baik dan selamat untuk diambil oleh pengguna.

“Akreditasi ini juga satu langkah awal yang diambil oleh TDMP bagi pematuhan` The Technical Barriers to Trade' yang dibuat oleh The World Trade Order (WTO) 1994 yang mengkehendaki beberapa piawaian tertentu dalam pembangunan ladang mengikuti amalan pengurusan yang baik,” katanya di majlis penyampaian sijil penghargaan sempena pentauliahan itu, di Hotel Primula Beach, Kuala Terengganu, hari ini.

Di majlis itu, Pengerusi TDM Berhad, Dato’ Roslan Awang Chik menyampaikan sijil penghargaan kepada Pengerusi TDMP, Dato’ Mohd Jidin Shafee.

Haji Ab Halim berkata, pengekalan mutu dan pengeluaran CPO sudah menjadi amalan operasi dan pengurusan di semua ladang kelapa sawit milik TDMP bagi memastikan produk makanan yang dihasilkan daripada minyak kelapa sawit yang dikeluarkan syarikat ini selamat serta dapat memulihara alam sekitar.




Selain itu, Dato’ Mohd Jidin turut menyampaikan sijil latihan dan surat tawaran mengikuti Program Latihan Pegawai Luar kepada 20 pelatih terpilih.

Beliau kemudiannya menyampaikan sumbangan kepada seorang kakitangan Ladang Fikri, Abd Aziz Abd Salam berikutan anaknya, Muhd Fakhrul, 16 yang mengidap kanser usus.