Halaman

07 January 2012

T-Team tidak dibubar jika pamer persembahan terbaik - MB

Oleh FAUZI MOHD

Pasukan T-Team diberi jaminan akan terus dikekalkan untuk beraksi dalam Liga Malaysia sekiranya memberikan persembahan terbaik.

Jaminan itu diberikan Menteri Besar Dato' Seri Ahmad Said yang mahukan pasukan kelab tersebut terus mengekalkan prestasi baik mereka musim ini.

"Tahun lepas saya telah beri amaran akan membubarkan pasukan ini tetapi nampaknya mereka telah melepasi halangan dan berjaya memasuki peringkat separuh akhir Piala Malaysia," katanya.

Kerajaan negeri melabur sebanyak RM3 juta setahun kepada pasukan itu bagi menghadapi Liga Malaysia.

Dato' Seri Ahmad berkata kehebatan pasukan T-Team adalah setanding malah lebih baik daripada sesetengah pasukan negeri.

Sementara itu jurulatih T-Team, Yunus Alif berkata pasukannya telah bersiap sedia bagi mengharungi perlawanan pertama Liga Super menentang Kedah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada Selasa depan.