Halaman

25 January 2012

Stamina pelengkap konsep S ke-50 amalan penjawat awam

Oleh: Aida Abd Rahman

Silaturahim, sistematik, sohor, sokmo, sokongan, soleh, sopan, spontan, `sporting’ dan stamina merupakan 10 lagi konsep S yang baru diperkenalkan kerajaan negeri sebagai teras amalan di kalangan penjawat awam dalam usaha membawa transformasi kepada sektor itu.



“Penambahan 10 S daripada 40 S sebelum ini selaras dengan pembaharuan yang harus dilaksanakan semua penjawat awam,” kata Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah ketika berucap di majlis Perhimpunan dan Anugerah Khidmat Cemerlang Bulanan Peringkat Wisma Darul Iman Bagi Bulan Oktober hingga Disember 2011, di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.
Beliau berkata, silaturrahim membawa maksud setiap pegawai dan kakitangan harus sentiasa merapatkan hubungan dan ukhwah serta menjalinkan persahabatan yang harmoni, manakala sistematik menjalankan kerja secara tersusun dan teratur.

Katanya, sohor pula memerlukan setiap penjawat awam menghasilkan kerja yang mampu diterima ramai dan mendapat pengiktirafan, selain `sokmo’ iaitu mengulangi sesuatu amalan atau kerja dengan kerap kali bagi mencapai tahap dikehendaki.

Konsep S yang seterusnya, sokongan iaitu setiap penjawat awam perlu saling memberi penghargaan dan perangsang sesama rakan sejawat atau kepada pekerja bawahan supaya dapat meningkatkan moral serta semangat dalam menjalankan tugas.

Manakala S ke-46 ialah soleh yang memerlukan setiap penjawat awam patuh pada arahan ketua, spontan pula kakitangan perlu sentiasa bersedia dan melakukan kerja serta-merta tanpa menunggu arahan semata-mata bagi melancarkan setiap amanah yang dipertanggungjawabkan.

“S yang ke-49 adalah `sporting’, di mana penjawat awam perlu berfikiran terbuka, cergas dan tangkas setiap masa. S terakhir, stamina yang memerlukan kepada daya tahan serta kekuatan fizikal dalam melaksanakan setiap amalan seharian,”katanya.
Sementara itu, seramai 15 kakitangan WDI menerima anugerah khidmat cemerlang bagi tempoh tiga bulan bermula Oktober lalu.

Antara penerima anugerah itu ialah pembantu tadbir Unit Komunikasi Negeri Terengganu, Encik Zulkifli Hashim; Puan Latifah Jusoh pembantu tadbir (Bahagian Agama dan Penerangan), Abu Bakar Abdullah (Khidmat Pengurusan); Encik Ahmad Fadzir Jusoh (Pejabat Menteri Besar); dan Cik Wan Mariam Muhamad pembantu tadbir di Pejabat Kerajaan Tempatan.