Halaman

03 January 2012

Sentuhan Menteri Besar di Taman Sinar Harapan

Oleh FAUZI MOHD

Mereka mungkin kurang sempurna namun sebagai manusia, kanak-kanak istimewa dan kurang upaya masih mampu merasai sentuhan dan menghargai perhatian yang diberikan.



Kedatangan tahun baru bagaikan tiada apa-apa buat mereka. Tetapi kali ini, kunjungan Dato’ Seri Ahmad Said ke Taman Sinar Harapan, Kuala Terengganu petang semalam cukup mengembirakan lebih 70 penghuninya.



Keceriaan jelas terpancar di wajah mereka apabila kedatangan mengejut Menteri Besar serta isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud meluangkan masa beramah mesra serta melihat sendiri suasana di pusat penjagaan yang beroperasi sejak 20 tahun lalu.

Penghuni pusat berkenaan berumur antara setahun hingga 14 tahun itu kemudiaannya menjamu selera bersama Menteri Besar serta Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri, Zuhaimi Omar.



Dato’ Seri Ahmad mempelawa lebih banyak badan bukan kerajaan (NGO), agensi awam dan syarikat korporat tampil untuk dekatkan diri dengan penghuni pusat itu dengan pelbagai aktiviti termasuk pembelajaran.



“Ia penting bagi melihat golongan kurang upaya terus diberi peluang melalui pendidikan, latihan dan kemahiran supaya mereka mampu berdikari,” ujarnya.

Dato’ Seri Ahmad turut diberi penerangan berkaitan keseluruhan pusat tersebut termasuk bilik sensori yang dibina khusus untuk membantu merangsang deria dan mewujudkan perasaan tenang dan selesa kepada kanak-kanak istimewa di situ.

Pusat yang mengandungi 6 bilik asrama itu mampu memuatkan sehingga 100 penghuni serta disokong kemudahan lain seperti bilik fisioterapi, hidroterapi, muzik, komputer, jahitan, masakan dan akademik.