Halaman

05 January 2012

Program latihan pegawai luar majukan hidup peladang

Oleh: Aida Abd Rahman

Program Latihan Pegawai Luar yang diperkenalkan oleh syarikat TDM Plantation Sdn Bhd (TDMP) diharap mampu menambah baik kehidupan pekerja ladang dan mengurangkan kadar kemiskinan pekerja ladang.

Pengerusi TDMP, Dato’ Mohd Jidin Shafee, berkata pelatih program juga perlu mengambil peluang menambah ilmu dan kemahiran bagi menguruskan ladang dengan baik, malah turut memperbaiki pengurusan dan penampilan diri di khalayak umum.

“Saya harap pelatih program bukan sahaja dapat menambahbaikkehidupan, malah kalau berada di mana-mana sahaja boleh dikenali dengan imej yang baik dan nampak hebat di mata masyarakat,” katanya di majlis penyampaian sijil penghargaan sempena pentauliahan akreditasi `Code of Good Agricultural Practice for Oil Palm Estates and Smallholdings' daripada Lembaga Kelapa Sawit Malaysia (MPOB), di Hotel Primula Beach, Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau menerima sijil penghargaan yang disampaikan Pengerusi TDM Berhad, Dato’ Roslan Awang Chik.

Untuk rekod, program Latihan Pegawai Luar diperkenalkan sejak 2007 sudah disertai 49 pelatih termasuk kumpulan terbaru seramai 20 orang yang mengikuti latihan sejak Oktober tahun lalu.

Di majlis itu, Dato’ Mohd Jidin turut menyampaikan sijil latihan dan surat tawaran kepada 20 pelatih berkenaan yang kebanyakannya merupakan anak pekerja ladang milik TDM.

Mereka menjalani latihan enam bulan di ladang masing-masing bagi mendapat pendedahan dalam pelbagai aspek pengurusan dan operasi ladang kelapa sawit.