Halaman

24 January 2012

Pembinaan kem tentera rancak pembangunan Marang

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri merancang membina kem tentera di kawasan seluas 800 hektar di Jenang, Marang yang mampu merancakkan lagi pembangunan daerah berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan syarakat dan Wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad, berkata kem yang bakal dibangunkan di Kampung Tebuang itu dapat menempatkan 5,000 anggota dan dilengkapi pelbagai prasarana bagi menyokong pembinaan kem itu nanti.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan (Adun) Pengkalan Berangan, berkata projek itu dijangka menjadi kenyataan selewat-lewatnya selepas pilihan raya umum akan datang.

"Kita harap ekonomi penduduk Marang secara tidak langsung akan turut meningkat selari dengan pembangunan yang akan dilaksanakan nanti," katanya .

Selain itu juga, dengan adanya kem tentera itu juga secara tidak langsung akan membantu menambah jumlah pelajar Sekolah Kebangsaan Jenang yang menghadapi ketandusan pelajar.

Beliau berkata dengan adanya kem tentera serta Institut Latihan Perindustrian (ILP) di daerah itu akan mewujudkan pelbagai peluang perniagaan yang dapat menambah pendapatan penduduk di daerah ini.

Dalam perkembangan yang sama, kerajaan negeri juga telah meluluskan pembinaan sebuah masjid baru berharga RM5 juta yang dapat menampung lebih 1,000 jemaah tahun ini di Kampung Pengkalan Berangan.