Halaman

13 January 2012

Pelajar jantung berlubang selamat dibedah

Laporan 0leh: Kamarudin Mat Akib

Pelajar tingkatan lima, Mohd Nazwan, dari Kemaman yang menderita sakit jantung berlubang sejak 10 tahun lalu, selamat menjalani pembedahan di Pusat Rawatan i-Heal Kuala Lumpur, hari ini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Mentok itu menjalani pembedahan jantung di pusat rawatan milik anak syarikat Kerajaan Negeri Terengganu, dibedah dengan kos rawatan dibiayai sepenuhnhya oleh kerajaan negeri.

Mohd Nazwan yang ditemani kedua-dua ibu bapanya dimasukkan ke pusat rawatan itu semalam dan menjalani pembedahan kira-kira jam 9 pagi tadi.

Pakar sakit jantung, Dr David Khoo Sin Keat, yang menjalankan pembedahan itu berkata, pesakit mengalami masalah jantung berlubang seluas kira-kira satu sentimeter dan kini berada dalam keadaan stabil.

“Pesakit kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) i-Heal dan masih dalam perhatian doktor pakar,” katanya ketika ditemui Teganukita selepas pembedahan tersebut yang mengambil masa kira-kira tiga jam.

Beliau berkata, Mohd Nazwan akan dirawat di hospital itu selama lima hari dan mungkin dibenarkan pulang ke Terengganu Jumaat ini.

Ibu pesakit, Khatijah Muda, 52, merakamkan penghargaan terima kasih yang tidak terhingga kepada kerajaan negeri, khususnya Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, yang sudi menanggung kos rawatan anak beliau.

“Mak cik harap Mohd Nazwan akan cepat sembuh dan mula belajar selepas ini bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.