Halaman

01 January 2012

Murid cemerlang dalam UPSR mengalami pengalaman manis

Oleh: Mohammad Ishak


Ramlan melambai tangan kepada murid yang diarak


LIMA murid cemerlang dalam ujian peperiksaan UPSR tahun lalu mengalami kenangan manis yang tidak mudah dilupakan apabila mereka diarak menggunakan motosikal yang diubahsuai sebagai treler kecil mengelilingi Kampung Pondok Paku, Kerandang dalam DUN Jabi.

Program anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pondok Paku, bertujuan memberi penghormatan kepada anak kampung itu yang memperolehi kejayaan cemerlang sekalu gus sebagai pembakar semangat kepada murid lain.

Pengerusinya, Hamid Ismail berkata, idea mengubah suai treler kecil yang digunakan untuk mengangkut rumput kemudian dihias indah dan ditarik menggunakan motosikal itu dicetuskan penduduk sendiri sebagai lambing kejayaan anak petani dalam pelajaran.

Katanya, majlis perarakan itu turut disaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Ramlan Ali, Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Terengganu,Mohd Iskandar Jaafar dan lebih 500 penduduk kampung sekitar.

Menurutnya, acara julung kali diadakan itu berjaya membangkitkan semangat kerjasama antara penduduk yang sanggup menyiapkan lima motosikal berhias yang dijadikan knderaan mengangkut murid terbabit.

Hamid berkata, beliau bangga dengan semangat dan sokongan penduduk kampung itu yang memberi sokongan untuk mengiktiraf anak rakan sekampung yang Berjaya mencipta nama dalam bidang pendidikan.

Sementara itu, Ramlan ketika berucap meraikan murid terbabit berkata, usaha yang dilakukan oleh JKKK kampung itu patut dicontohi penduduk tempat lain yang sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk meraikan anak kampung.

Beliau berharap, menerusi kerjasama itu tahap perpaduan penduduk kawasan itu dapat dikekalkan malah menjadi ikutan kepada penduduk di tempat lain.