Halaman

29 January 2012

Imtiaz Kemaman siap 2013 tampung 1,000 pelajar

Oleh FAUZI MOHD

Kompleks Sekolah Menengah Imtiaz (SMI) Kemaman yang mula dibina dengan kos RM60 juta awal bulan lalu di Kijal, dekat sini bakal siap hujung tahun 2013 untuk menampung 1,000 orang pelajar.

Pengarah Yayasan Terengganu, Zakaria Yusof berkata, penubuhan kompleks cawangan kelima sekolah berasrama penuh itu bagi menampung permohonan kemasukan yang meningkat saban tahun termasuk dari luar Terengganu seperti Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, tahun ini SMI menerima hampir 2,000 permohonan termasuk 600 dari luar Terengganu bagi mengisi 480 tempat tingkatan satu di lima cawangan iaitu SMI Besut, SMI Kuala Terengganu, SMI Dungun dan SMI Kuala Berang di Hulu Terengganu.

“Satu lagi cawangan iaitu Imtiaz Kemaman telah beroperasi selama dua tahun di bangunan sementara di Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun dengan 200 orang pelajar tingkatan satu dan dua.

“Apabila ianya siap, dua lagi sekolah yang sama akan dibina di Setiu dan Marang bagi menjadikan setiap daerah mempunyai sekolah elit berkenaan,” katanya kepada pemberita di Pusat Latihan Antarabangsa, Kolej Universiti Tati, Teluk Kalong, di sini hari ini.



Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyampaian Anugerah Emas Pelajar Cemerlang UPSR kepada 63 pelajar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal yang disampaikan Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said.

Tambah Zakaria, Yayasan Terengganu dalam perancangan untuk menaik taraf cawangan pertama sekolah itu di Kampung Raja, Besut menjadi Sekolah Menengah Imtiaz Antarabangsa selaras dengan hasrat Kerajaan negeri untuk menjadikan Terengganu sebagai 'Negeri Anjung Ilmu'.

“Imtiaz Besut yang diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi tahun lalu oleh Kementerian Pelajaran akan menjadi penanda aras kepada semua cawangan Imtiaz serta sekolah-sekolah lain untuk meningkatkan kecemerlangan mereka.

"Setakat ini, Imtiaz membuka kuota 10 peratus untuk pelajar luar Terengganu bagi menggalakkan integrasi antara pelajar dan kita tidak mahu mereka bergaul antara mereka sahaja," jelasnya.

Dalam majlis yang sama, Dato' Seri Ahmad turut menyampaikan bantuan kebajikan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM172,000 kepada 700 penerima yang melibatkan orang kurang upaya, kanak-kanak cacat, warga emas dan golongan miskin.

Pengarah Kebajikan Masyarakat negeri, Zuhaimi Omar yang turut hadir pada majlis itu memberitahu, tahun ini JKM memperuntukkan RM45 juta untuk diagihkan kepada golongan berkenaan setiap bulan.