Halaman

10 January 2012

Kalendar 2012 percuma kepada peserta Diskusi Bajet


Oleh: Aida Abd Rahman

Kalendar 2012 akan diedarkan secara percuma di program Diskusi Bajet 2012 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini, jam 2 petang.



Selain kalendar, beberapa cenderahati sampingan lain juga disediakan kepada peserta terawal program itu nanti.

Program anjuran kerajaan negeri menerusi Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom) akan menterjemahkan secara terperinci mengenai kepentingan Bajet 2012 menerusi ulasan dan pandangan ahli-ahli panel.
Moderator diskusi, Timbalan Rektor Hal Ehwal Korporat TATiUC, Haji Zulkifli Mohamad. Ahli panel, Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Dato’ Ir Ismail Tengku Jaafar; Pengarah Pusat Pembangunan Sosial Ekonomi Universiti Malaysia Terengganu, Dr Ibrahim Mamat dan Ketua Jabatan Sains Sosial Fakulti Pengajian Kontemporari Islam UniSZA, Encik Che Wan Takwa Che Wan Bakar.

Dalam pada itu, pembentangan Bajet 2012 oleh kerajaan negeri perlulah difahami dan mesejnya dapat diterima oleh setiap lapisan masyarakat.

Bagi memastikan perkara itu dapat direalisasikan, orang ramai terutama ketua jabatan, pegawai dan kakitangan kerajaan, pemimpin masyarakat, jawatankuasa Umno Bahagian dan sayap seluruh Terengganu dijemput ke program berkenaan.

Pengarah Ukom, Haji Shamsuddin Sulong, berkata Bajet 2012 yang dibentangkan Menteri Besar dalam Sidang Dewan Undangan Negeri pada 5 Disember lalu perlu difahami oleh seluruh masyarakat di peringkat akar umbi.

“Pemimpin masyarakat, sama ada ketua jabatan dan kakitangan kerajaan, penghulu, pengerusi dan setiausaha Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung harus menghadiri diskusi yang julung kali dilaksanakan ini supaya mereka boleh mengambil input berguna dan pendedahan itu nanti boleh disalurkan kepada masyarakat umum,” katanya.

Selain itu, katanya diskusi itu juga memberi peluang kepada orang ramai mengajukan soalan berkaitan Bajet 2012 supaya segala persoalan yang timbul mampu dirungkaikan.