Halaman

19 January 2012

Daerah baru Kuala Nerus mampu bersaing

Oleh; Esah Abdullah

Kewujudan daerah baru Kuala Nerus mampu bersaing dengan daerah-daerah lain kerana banyak kemudahan insfrastruktur berada dalam kawasan berkenaan.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri berkata, pembangunan sedia ada seperti Stadium Sultan Mizan, Masjid Kristal, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said ketika membuat pembentang bajet 2012 Disember lalu mengumumkan peruntukan RM20 juta bagi tujuan pembangunan daerah baru Kuala Nerus.

“ Saya bersyukur dan gembira dengan berita itu dan berharap pengistiharan mengenainya dapat dibuat dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal di Sekolah Menengah Bukit Tunggal (SMK) petang semalam.

Tambahnya lebih 100,000 penduduk sedang menanti penuh debar pengisytiharan yang akan dibuat oleh pemimpin nombor satu negeri itu pada bila-bila masa sahaja dari sekarang.

“Saya harap ia dapat diumumkan sebelum menjelang tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 yang akan diumumkan Perdana Menteri,” katanya.

Katanya, di samping pembangunan sedia ada, masih terdapat beberapa kekurangan yang perlu diberi penambahbaikan termasuk pembinaan Pejabat Daerah dan Pejabat Agama yang akan berurusan terus dengan masyarakat setempat.

“Ia sebahagian daripada langkah agar kawasan yang pesat berkembang dan padat dengan penduduk itu dapat menikmati perkhidmatan perbandaran dan program pembangunan sosial dengan lebih baik,” katanya.

Menurutnya, daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu mempunyai keluasan kawasan sama namun Kuala Terengganu mempunyai kepadatan penduduk melebihi Kuala Nerus.