Halaman

06 December 2011

Tidak laksana hudud bukan maksud tolak agama

Oleh; Esah Abdullah

Islam melarang keras perbuatan menjual agama semata-mata untuk meraih sokongan dan keuntungan politik, berdasarkan ayat al-Quran yang bermaksud “jangan jual ayat-ayat ku dan agama ku semata-mata untuk mendapat keuntungan yang sedikit”.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat berkata, walaupun kita tidak mampu melaksanakan hukum hudud tetapi kita ada undangan-undang yang menghukum pencuri dan penzina.

“Tidak laksanakan hudud bukan maksud tolak agama tolak Islam sebaliknya kita mengantikan dengan undang-undang syariah yang menghukum setiap pesalah itu dengan adil,” katanya di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

YB Haji Khazan (BN-Batu Rakit) menjawab soalan lisan yang dikemukakan oleh YB Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang (Pas-Rhu Rendang) mengenai pelaksanaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 2002 sebagaimana yang telah diwartakan.

“Kita buat apa yang kita mampu dan laksanakan apa yang perlu diutamakan, serta apa yang dituntut oleh agama rasmi di negara kita,” katanya.

Tambahnya, tidak boleh disabitkan kafir jika sesuatu perkata itu tidak laksana kerana benar-benar tidak mampu, contohnya menunaikan rukun haji yang menurut hukumnya adalah wajib tetapi jika tidak mampu tidak boleh dihukum kafir.

Tegasnya, kita ada jawatankuasa fatwa dan ada agensi agama yang membantu, menasihat dan sentiasa memperingati serta mendorong dan mengesyorkan kepada kerajaan apa-apa yang patut di laksanakan demi memertabatkan agama dalam konteks negara kita.

“Sebenarnya orang luar sangat menghormati negara kita sebagai negara Islam contoh, cuma orang-orang yang disebelah ‘sana’ (pembangkang) yang tidak mengiktiraf negara ini Islam,” katanya.