Halaman

31 December 2011

Terengganu kem latihan lumba basikal

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu terpilih sebagai kem latihan pasukan lumba basikal kebangsaan bagi persediaan menghadapi Kejohanan Asia (ACC) dan Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun depan.

Jurulatih Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG), Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan, berkata seramai 11 pelumba menyertai kem latihan bermula dari 20 Disember lalu hingga 20 Januari, tahun depan.

“Kita pilih Terengganu sebagai kem latihan pasukan kebangsaan kerana ia adalah salah satu laluan dalam kejohanan LTdL nanti,” katanya.

Katanya, latihan itu diadakan di sekitar daerah Hulu Terengganu, Dungun dan Kuala Terengganu meliputi jarak bawah 280 kilometer dua hala setiap hari.

Pelumba ke ACC terdiri daripada Mohd Haris Salleh, Zamri Salleh, Anuar Manan, Shahrul Mat Amin, Mohd Fauzan Mohd Lufti, Amir Mustapha dan Adiq Husaini.

Manakala ke LTdL adalah Akmal Amron, Mohamad Nazri, Mohd Fakharullah Alias, Suhardi Hasan, Falani Ali, Mohd Rauf Misbah selain Mohd Fauzan Mohd Lufti, Amir Mustafa dan Adiq Husaini.