Halaman

07 December 2011

Stadium Sultan Mizan selamat digunakan

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri menegaskan keseluruhan struktur Stadium Sultan Mizan di Gong Badak selamat digunakan berdasarkan kajian awal terhadap struktur stadium berkenaan selepas sebahagian bumbungnya runtuh.

“Alhamdulillah, hasil kajian awal yang dibuat, keseluruhan struktur stadium masih baik dan boleh digunakan, kecuali bumbung yang runtuh perlu dibaikpulih,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Haji Za’abar Mohd Adib.

Katanya, sekarang tumpuan diberi terhadap proses membaiki bahagian bumbung sahaja dan tidak membabitkan bahagian lain.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Pas- Batu Buruk) yang ingin penjelasan sebab-sebab kelewatan membaikpulih stadium berkenaan dan bila ia akan siap di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

YB Datuk Haji Za’bar menolak dakwaan yang dibangkitkan oleh wakil pembangkang, kononnya stadium itu tidak selamat digunakan lagi dan akan dirobohkan selepas pilihanraya ini.

Menurutnya, pihak perunding yang dilantik iaitu Tetuan Khairi Consultant sedang menyediakan laporan kajian akhir dan dijangka dapat dikemukakan kepada kerajaan pada 15 Disember ini.

Tambahnya skop kerja yang ditawarkan merupakan kajian fizikal yang mengkaji kestabilan keseluruhan stadium itu berdasarkan faktor keselamatan dan integriti serta pengesyoran pembaikan dan pemulihan stadium.

“Kerajaan akan membuat tindakan susulan selepas menerima laporan berkenaan dan tumpuan sekarang adalah untuk memulihkan bumbung stadium itu,” katanya.

Menjawab soalan tambahan daripada wakil yang sama, Datuk Haji Za’abar berkata, proses tindakan undang-undang terhadap kontraktor asal diteruskan berdasarkan perjanjian yang ada dalam kontrak asal yang dipersetujui bersama.

“Kita perlu ambil jalan lain untuk baikpulih kerosakan yang berlaku tanpa perlu menunggu proses undang-undang itu selesai kerana ini dua perkara berbeza iaitu meneruskan proses undang-undang terhadap kontraktor terbabit dan satu lagi menyediakan peruntukan baru untuk membaikpulih kerosakan,” katanya.